Pages

Sunday, February 10, 2013

Cincin Adalah Pakaian: Doa Memakai Cincin Berpermata Batu Mulia dsbnya


Sabda Nabi saw “Bermula doa adalah otak ibadat”. Firman Allah swt “Berdoalah, nescaya Aku perkenankan untukmu” (al-Mu’min: 60). Firman Allah swt “Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan” (al-fatihah:5).

Alam semesta saujana mata memandang ada tuannya, iaitu Allah swt. Dialah Tuhan yang menjadikan dan menguasai sekalian alam. Dialah Tuhan yang bertumpu segala makhluk untuk mengadu, memohon dan bergantung.

Memakai cincin juga mempunyai doanya. Terangkum dalam doa memakai cincin ialah:

1.       “BismillahirRahmanirRahim”
2.       Doa Nabi Isa menghidupkan orang mati 3x
3.       Doa memakai pakaian baru
4.       Disambungkan dengan “Bi La haula wala Quwwata illa billahil ‘aliyyil ‘azhim
5.       Selawat ke atas Nabi Muhammad saw 3x
6.       Tawassul “bi haqqi..” dengan kisah unta Nabi Soleh as
7.    Disambungkan dengan ayat 32 surah an-Naml

Dalam hal kaitan batu permata dan khasiat, maka batu permata itu sebagai “sebab”. Sebab tidak dapat member bekas melainkan dengan izin Allah.

Telah maklum, kebanyakkan batu permata mempunyai sisi fizikal dan ghaib yang saling berkait. Sisi fizikal boleh dirasa dilihat, manakala sisi ghaib terlindung oleh kita melainkan sesiapa yang dikehendakiNya. Maka sisi yang terlindung yang tidak diketahui oleh kita (samada baik atau buruk) itu telah diliputi oleh doa diatas (doa memakai pakaian).

Jika tidak mempunyai Doa Memakai Cincin  yang penuh:

1] Sekurang-kurangnya membaca BismillahirRahmanirRahim apabila hendak memakai cincin. Sabda Nabi saw “Tiap-tiap perkerjaan yang mempunyai cita-cita yang tiada dimulai didalamnya itu dengan Bismillah, maka iaitu abtar ertinya terpotong pihak ekor dan pada suatu riwayat aqta’ dan pada suatu riwayat ajzam” Dan makna atas tiap-tiap riwayat itu bahawasanya kurang berkat.

2] Lebih baik selepas membaca Basmallah itu dibaca pula sekali dengan “Doa memakai pakaian baru”, kemudian baru disarung ke jari. Makna doa memakai pakaian “Wahai Allah, bagi Engkaulah segala pujian, Engkau memakaikanku akannya. Aku memohon kepada Engkau kebaikannya dan kebaikan bersama penciptaannya, dan aku memohon berlindung dengan Engkau akan keburukkannya dan dari keburukan bersama penciptaannya. [Nota: Sunat bagi pasangan baru kawin si suami meletakkan tangan kanan atas ubun-ubun si isteri dan membaca doa tersebut]

3] Tetapi adalah terlebih elok disambungkan dengan membaca ayat 32 surah an-Naml dengan bilangan ganjil (3x, 7x dsb). Maksud ayat 32 surah an-Naml ialah “Sesungguhnya dia daripada Sulaiman dan sesungguhnya dia BismillahirRahmanirRahim”.

Allahu alam.

******

Mukjizat Nabi Soleh as (klik)

Doa Nabi Isa menghidupkan orang mati (rujuk ms. 210-211, Aljauhar Al-Mauhub; Terbitan al-hidayah publishers)

Tafsir Ayat 5 Surah Al-Fatihah: Tafsir Pimpinan Rahman
Menurut huraian Sahibul Fadhilah Datuk Haji Muhammad Noor, Penyemak  Kitab Tafsir ini:

Satu-satunya jalan bagi menyatakan iman dan taqwa kepada Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Kuasa, yang menguasai hari Pembalasan (hari Akhirat), ialah dengan beribadat atau memperhambakan diri kepadaNya dengan penuh rasa ikhlas dan tawadhu’.

Tidak ada lain yang berhak disembah atau diperhambakan diri kepadanya selain dari Allah Yang Maha Kuasa; demikian juga tidak ada lain tempat kita memohon pertolongan selain dari Allah Yang Maha Pemurah.

Pengertian “ibadat” secara ringkas dapat diertikan sebagai menunjukkan rasa ta’at setia dan perhambaan diri kepada Allah ‘Azza wa Jalla yang dikenangkan limpah kurnia kebaikkanNya serta dirasai dalam hati nurani akan kehaibatan kekuasaanNya.

Allah Ta’ala perintahkan supaya kita tidak menyembah selainNya, kerana Dialah sahaja Tuhan yang wajib disembah dengan sebenar-benarnya. Kita juga diperintahkan supaya hanya memohon pertolongan kepadaNya. Ayat ini seolah-olahnya bertentangan dengan ayat 2, surah Al-Ma’idah yang menyuruh manusia bertolong-tolongan antara satu sama lain dalam membuat amal kebajikan dan bertaqwa kepada Allah. Yang bererti kita disuruh supaya meminta pertolongan sesame manusia; sementara ayat 5 dalam surah Al-Fatihah ini menyuruh supaya kita hanya memohon pertolongan kepada Allah semata-mata.

Sebenarnya tidak ada pertentangan di antara kedua-dua ayat itu, kerana usaha dan amal perbuatan manusia adalah bergantung kepada adanya sebab-sebab yang dapat menghasilkan kejayaan itu dan ketiadaan halangan-halagan yang merintanginya. Demikianlah kejadian alam ini, segala yang berlaku itu pada keseluruhannya adalah melalui adanya sebab-sebab dan syarat-syarat yang telah diatur oleh Allah ‘Azza wa Jalla.

Manusia sebagai makhluk Tuhan telah diberikan ni’mat ilmu pengetahuan melalui akal fikirannya yang waras, disamping itu diberikan tenaga kekuatan untuk mengatasi sesuatu halangan. Oleh itu, yang menjadi tanggungjawab bagi manusia ialah menggunakan segala ikhtiar dan daya usaha, meliputi cara-cara bergotong-royong dan bantu-membantu antara satu sama lain, yang disertakan dengan do’a memohon bantuan dan pertolongan kepada Allah Subhaanahu wa Ta’ala. Semuanya ini adalah merupakan sebab-sebab yang telah ditentukan oleh Allah bagi pelaksanaan sesuatu pekerjaan. Dan segala-galanya itu tidak lain hanyalah merupakan usaha ikhtiar kita sahaja.

Setelah kita berusaha dan berikhtiar maka kita serahkan pula penentuan natijah dari usaha kita itu kepada Allah Yang Maha Kuasa.

No comments:

Post a Comment